Bekas pelumba basikal trek negara, Josiah Ng, bukanlah seorang pengkhianat negara seperti yang dikecam netizen melalui media sosial, kata Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Pada saya, sesiapa yang memanggil dia (Josiah) sebagai pengkhianat, harus cermin diri dahulu. Mengapa mereka tidak mengiktiraf sumbangannya kepada Malaysia," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu.

Menurut Syed Saddiq, beliau berkesempatan bertemu dengan Josiah ketika berada di Velodrom Antarabangsa Jakarta dalam Sukan Asia dan sempat bertanya kenapa dia tidak mahu melatih skuad berbasikal Malaysia.

"Josiah kata, dia belum layak lagi untuk jadi jurulatih untuk Malaysia. Dia perlukan sedikit masa lagi untuk membuktikan kebolehannya sebagai seorang jurulatih sebelum balik ke Malaysia dan melatih skuad basikal negara," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Syed Saddiq berkata Josiah tidak memberi alasan seperti mendapat wang ataupun tawaran tinggi dari negara lain, sebaliknya mengakui masih belum layak untuk menjadi jurulatih Malaysia.

Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam mengatakan bekas pelumba kebangsaan itu terkejut apabila komuniti media sosial mendakwa dia sebagai pengkhianat selepas anak didiknya, Jai Angsuthasawit dari Thailand, memintas jaguh trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, dalam perebutan pingat emas acara keirin dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang minggu lalu.

"Banyak jasa yang telah Josiah berikan kepada negara. Dia adalah atlet berbasikal pertama Malaysia yang mara ke peringkat akhir acara keirin dalam Sukan Olimpik," kata Syed Saddiq.

"Dia pernah meraih emas untuk negara tapi kita menggelarkannya sebagai pengkhianat. Sumbangannya untuk negara sangat banyak sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Sepatutnya kita perlu rasa bangga kerana yang membantu Thailand meraih pingat itu adalah seorang rakyat Malaysia. Dia mampu memberi sumbangan pembangunan sukan di Malaysia pada masa depan," tambahnya.

Untuk rekod, Josiah mara ke peringkat akhir acara keirin dalam Sukan Olimpik Athens pada 2004 dan berkesudahan di tempat kelima.

Dalam Sukan Asia pula, dia meraih tiga pingat perak di Busan 2002 (pecut), Doha 2006 (keirin) dan Guangzhou 2010 (keirin) serta satu gangsa dalam acara keirin di Incheon pada 2014.

-- BERNAMA

Imej: Asiana