Pertunjukan bunga api yang memukau menerangi bumi Jakarta bagi menyambut lebih 11,400 atlet terbaik di rantau ini selepas jurang masa 56 tahun, dalam upacara pembukaan rasmi Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam ini.

Mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia adalah pembawa Jalur Gemilang, Shakila Salni Jefry Krisnan dan diikuti 115 atlet dan pegawai, dengan disambut tepukan gemuruh 72,000 penonton yang memenuhi stadium.

Penyanyi terkenal Indonesia, Via Vallen, kemudian menyanyikan lagu tema ‘Meraih Bintang’ sebelum upacara menaikkan bendera tuan rumah diberi nama ‘Paskibra’ merangkumi 70 orang, membentuk formasi khas 17-8-45 yang menandakan tarikh perisytiharan Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia, Erick Thohir, dan Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Fahad Al-Sabah, dalam ucapan masing-masing dalam majlis gilang-gemilang itu turut berkongsi visi mereka terhadap masa depan sukan dan temasya Sukan Asia.

Presiden Indonesia, Joko Widodo, kemudian mengisytiharkan temasya sukan berkenaan dibuka secara rasmi daripada “Box of Honour” sebelum bendera OCA dan bendera Sukan Asia dinaikkan.

Acara utama dalam majlis berkenaan adalah pertunjukan kepelbagaian budaya Indonesia yang ditonjolkan melalui empat segmen – Air, Udara, Api dan Bumi.

Antara lain, ia meraikan keindahan dan keajaiban lautan biru yang menghubungkan rangkaian pulau di Indonesia; merangkumi kasih sayang dan dedikasi anak-anak Indonesia terhadap alam semesta; mencerminkan kebijaksanaan orang tua-tua Indonesia dahulu yang memiliki kemampuan luar biasa dan kebanggaan negara, dan juga menggambarkan keberanian dan semangat juang tinggi rakyat Indonesia.

Acara kemuncak upacara perasmian itu apabila bekas pemenang pingat emas acara badminton Sukan Olimpik, Susi Susanti, menyalakan obor temasya Sukan Asia dengan begitu memukau penonton.

Sebanyak 45 negara Asia bersaing dalam temasya sukan empat tahun sekali itu, dengan tema ‘Energy of Asia’ yang berlangsung dari 19 Ogos hingga 2 September.

Ini kali kedua Indonesia menjadi tuan rumah temasya sukan kedua terbesar dunia itu selepas edisi 1962 yang diadakan di Jakarta.

-- BERNAMA