Penyerang skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, mempertimbangkan persaraan selepas Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun menerusi penentuan penalti dalam aksi final Sukan Asia Jakarta-Palembang, secara tidak langsung terlepas tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tengku Ahmad Tajuddin adalah antara pemain paling menyinar dalam final di Pusat Hoki Gelora Bung Karno, kelmarin.

Dia mencipta hatrik ketika kedua-dua pasukan terikat 6-6 dalam tempoh 60 minit permainan sebelum diheret ke penentuan penalti.

Penyerang berbisa itu turut ditugaskan mengambil penentuan penalti, namun antara yang gagal melaksanakan tugas berkenaan untuk Malaysia terlepas pingat emas.

Lebih perit, kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia terlepas tiket automatik ke temasya Olimpik Tokyo 2020 dan perlu melalui siri hoki tahun depan.

"Belum pasti lagi (terus bermain), tengok dulu keadaannya macam mana.

"Kami sepatutnya menang pada awal permainan tetapi kami memberi Jepun terlalu banyak ruang," kata Tengku Ahmad Tajuddin.

Harapan besar diletakkan di bahu penjaga gol, S. Kumar, juga tidak kesampaian ketika penentuan penalti itu.

Penjaga gol berusia 39 tahun itu gagal menghalang pukulan penalti penentuan Koji Yamasaki, Kenta Tanaka dan Kazuma Murata untuk terlepas emas temasya.

"Temasya ini baru berakhir, kita belum tahu apa yang berlaku lagi

"Macam biasa, saya akan berehat terlebih dahulu, kemudian kita tunggu dan lihat," kata Kumar.