Jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, gagal mencapai kepuasan sebenar mempersiapkan pasukannya ke Sukan Asia Indonesia ekoran masalah kesihatan yang dialaminya sebelum ini.

Masalah kesihatan menyaksikan Dhaarma terpaksa ditahan di wad untuk pemeriksaan lanjut, membuatkan beliau berasakan tidak cukup ilmu untuk dicurahkan kepada anak buahnya.

Katanya, dengan hanya empat hari beliau tidak hadir ke sesi latihan, beberapa pelan latihan khusus tidak dapat diserapkan sepenuhnya kepada skuad kesayangannya itu.

"Walaupun saya tidak pergi berlatih dua, tiga hari, saya tetap risau. Saya hantar video kepada pasukan untuk memberitahu apa yang perlu saya lakukan pada hari tersebut.

"Ia kerana saya khuatir saya terlepas apa yang perlu dilakukan. Apabila saya kembali pada Isnin lalu, saya berasa tidak puas, rasa tidak berjaya melakukan semua perkara," ujarnya.

Kesihatan Dhaarma semakin pulih walaupun masih di dalam rawatan dan pemantauan doktor.

Tambahnya, kemunculan kali pertama di pentas Sukan Asia membawa suasana berbeza untuknya.

Beliau tidak mahu penampilan mereka sekadar memenuhi tuntutan jadual perlawanan, sebaliknya mahu anak buahnya membawa pulang pingat tanpa mengira warna daripada temasya kali ini.

"Situasi sekarang berbeza. Setiap pemain bersemangat mahu pergi ke sana. Kami akan fokus satu perlawanan pada satu masa.

"Saya sebagai jurulatih pasukan berasakan ini prestasi terbaik kami untuk melakukan kejutan," katanya lagi.