Ekuin negara, Qabil Ambak Mahamad Fathil, berharap dapat meneruskan kualiti tunggangannya dalam rutin acara dressage individu dalam aksi final Sukan Asia Jakarta-Palembang di Pusat Ekuestrian Antarabangsa Jakarta, Khamis ini.

Qabil memasang misi untuk menamatkan penantian 20 tahun ekuin negara untuk meraih pingat emas selepas mengetuai senarai sesi kelayakan kedua, hari ini.

Dia dan kudanya, Rosenstolz, mencatat 73.499 mata selepas merakamkan 74.881 mata dalam kelayakan pertama, namun persembahannnya itu tetap mampu memikat juri untuk menghuni ranking teratas.

"Markah yang diraih hari ini ada pengurangan (berbanding semalam) atas kesilapan tunggangan dalam satu rutin.

"Tetapi, rutin yang lain agak bagus dan markah yang diberikan juga agak tinggi.

"Insya-Allah kalau kekal seperti ini, akan ada pingat emas pertama untuk saya dalam Sukan Asia.

"Dalam final nanti, saya perlu bermula dari kosong semula di samping bergantung kepada rutin dan lagu.

"Ia sesuatu yang subjektif, memandangkan pengadil memberi markah yang bagus setakat ini, saya harap mereka kekal memberi markah yang serupa," katanya.

Di sebalik impian besar, Qabil enggan terbawa-bawa dengan senario itu bersandarkan pengalaman luas yang dimilikinya.

"Dengan pengalaman yang ada, saya lebih fokus dan tidak begitu tertekan.

"Kami telah memberikan yang terbaik dan berlatih sebaik mungkin sempena Sukan Asia.

"Kini, kami hanya berdoa untuk mendapatkan pingat emas," katanya.

Qabil mencuri perhatian apabila sanggup berbelanja lebih RM1 juta menggunakan duit poket sendiri demi menyertai Sukan Asia kali ini.