Belum menjejakkan kaki, skuad boling tenpin negara menjadi buah mulut di Palembang dan mereka tiba hari ini dengan bekalan latihan pusat di Kuala Terengganu bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia.

Tidak dinafikan, skuad boling negara mempunyai pengaruhnya yang tersendiri sehingga kehadiran mereka ditanya-tanya kontinjen lain, selain penantian pengumuman ketua jurulatih, Holloway Cheah, terhadap kombinasi manakah yang akan turun dalam acara trio, bermula Rabu ini.

Salah seorang pemain negara yang bakal menjadi tumpuan di Palembang, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, berkata pasukannya kini berada dalam prestasi terbaik selepas membuat persiapan rapi.

"Sebelum ini, kami sudah datang ke sini untuk berlatih dan mengenal pasti lorong selain menyesuaikan diri dengan suasana.

"Saya rasa, sukar itu tiada. Lorong di sini berbeza dengan tempat latihan kami di Sunway Pyramid tetapi kami ada berlatih di Terengganu, di mana lorongnya hampir sama dengan lorong di sini. Setakat kami berlatih di Terengganu, tiada masalah dan jurulatih pun puas hati," katanya.

Diminta mengulas mengenai barisan pemain, Syaidatul berkata: "Saya rasa sudah ada, cuma jurulatih belum umumkan lagi.

"Kami tidak kisah digandingkan dengan sesiapa sekalipun sebab kami enam orang ini sudah biasa bersama."