Skuad B-23 negara boleh meneruskan cabaran dalam Sukan Asia 2018 tanpa sebarang kebimbangan apabila Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menjangkakan siasatan kes pergaduhan skuad itu dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan berlanjutan sehingga berakhir temasya berkenaan.

Skuad B-23 negara tampak hadir ke bumi Indonesia dengan keresahan susulan dipalit dengan isu pergaduhan sebelum ini.

Menanti bentuk hukuman daripada AFC pada bila-bila masa, perkembangan terbaru jelas melegakan kem Malaysia di Indonesia.

AFC semalam telah memberi maklum balas kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai laporan awal insiden itu, namun ia hanya berkaitan dengan maklumat tambahan yang diperlukan badan induk Asia itu untuk siasatan terperinci terus dijalankan.

"Kami mempunyai laporan daripada pengadil dan komisioner perlawanan. Kami minta maklumat lanjut yang tiada dalam laporan yang kami terima. Adakah FAM dan Persatuan Bolasepak UAE mempunyai maklumat lain?

"Kalau mengikut SOP (prosedur operasi standard) kami, saya ingat jika ada kes, (ia selepas) Sukan Asia tamat. Ini bukan satu perkara yang kami mahu ambil tindakan segera," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul.