Pemain skuad B-23 negara, Safawi Rasid, menganggap usaha satu pasukan untuk membuktikan keupayaan berdepan Korea Selatan dalam aksi Kumpulan E, Sukan Asia membantu dirinya memperoleh dua jaringan yang cukup penting dalam babak pertama bagi membantu kemenangan skuad negara.

Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu merakamkan dua jaringan ketika berdepan juara bertahan, Korea Selatan, sekali gus merakamkan kemenangan 2-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, malam tadi.

Safawi menganggap kemenangan mengejutkan itu merupakan hasil usaha setiap individu dalam pasukan dan menyedari mereka perlu mengekalkan momentum bagi aksi-aksi akan datang.

"Jaringan kedua betul-betul menaikkan moral kami sebab gol pertama itu kami belum selamat lagi. Apabila dapat gol kedua, semangat kami berkobar-kobar.

"Saya mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukan kerana memberikan aksi 100 peratus dan menujukkan disiplin terbaik," ujarnya.

Korea Selatan nyata kelihatan terdesak pada 10 minit terakhir, dan mengulas mengenai situasi itu, Safawi berkata: "Pertahanan kami memberikan segala-galanya.

"Kami sedar dengan tentangan yang diberikan Korea Selatan dalam 10 minit terakhir tetapi pertahanan kami sangat baik."

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu mendahului Kumpulan E dengan enam mata selepas meraih kemenangan 3-1 dalam aksi sulung berdepan Kyrgyzstan, Rabu lalu.