KYRGYZSTAN 1 MALAYSIA 3

Skuad B-23 tahun negara mempamerkan aksi meyakinkan dalam perlawanan pertama Kumpulan E, Sukan Asia 2018 apabila menewaskan Kyrgyzstan 3-1 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, sebentar tadi.


Skuad muda negara dilihat memiliki keyakinan tinggi berdepan Kyrgyzstan susulan kejayaan menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0 dalam aksi persahabatan sebelum ke Indonesia.

Mereka meraih sepakan penalti selepas lebih setengah jam beraksi apabila Akhyar Rashid dijatuhkan kapten lawan, Tamirian Kozubaev, dan peluang itu dimanfaatkan Safawi Rasid untuk meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-37.

Ketinggalan satu gol, Kyrgyzstan bangkit dalam babak kedua dan meraih gol penyamaan susulan hantaran Mustafa Iusupov yang ditanduk masuk Ernist Batyrkanov pada minit ke-55.

Bagaimanapun, kebangkitan lawan jelas hanya bertahan selama lima minit apabila skuad muda negara kembali di depan menerusi hantaran Safawi yang bijak disudahkan oleh Akhyar.

Sedar perbezaan satu gol masih belum selamat, pasukan negara kendalian Datuk Ong Kim Swee menambah satu lagi gol pada minit ke-78, sekali lagi berpunca daripada hantaran Safawi dan kali ini disempurnakan dengan tandukan oleh penyerang gantian, Syafiq Ahmad.

Jaringan itu ternyata sudah memadai buat skuad muda negara untuk memastikan kemenangan 3-1 dalam aksi pertama di Indonesia.

"Kami tampak kurang berkesan tetapi apa yang penting mendapatkan tiga gol dan mata penuh. Ia sesuatu yang positif memandangkan jumlah gol pastinya memainkan peranan," ujar Kim Swee.

"Secara keseluruhan, kami masih belum beraksi dengan baik. Babak pertama menampakkan kami gugup, jadi ia harus diperbaiki.

"Itu salah satu faktor yang perlu ditekankan apabila berdepan Korea Selatan nanti," ujarnya lagi.