"Kami juga mempunyai kualiti tersendiri untuk menyaingi lawan," kata jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menjelang pertemuan penting dengan Korea Selatan bagi aksi kedua Kumpulan E, Sukan Asia, esok.

Malaysia dan Korea Selatan masing-masing mencatat kemenangan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E, dengan skuad negara menewaskan Kyrgyzstan 3-1 dan penyandang juara, Korea, membenam Bahrain 6-0, sekali gus menyerlahkan perbezaan kualiti di antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan getir Jumaat ini.

Pemenang di antara Korea Selatan dan Malaysia sudah pasti menghampiri peringkat seterusnya tetapi di atas kertas, Korea Selatan mempunyai skuad yang lebih lengkap berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, Kim Swee berasakan kualiti pemain negara perlu diambil kira untuk memberikan saingan kepada lawan.

"Kita tahu Korea Selatan adalah sebuah pasukan yang berada di tahap berlainan. Mereka bukan sahaja ada 11 pemain berkualiti tetapi 20 pemain yang boleh diturunkan bila-bila masa. Mereka mempunyai kualiti yang cukup berbeza.

"Jadi, ini adalah pentas yang cukup mencabar tetapi kami perlu mengharungi perlawanan esok dengan lebih berdisiplin," katanya.

Kemenangan ke atas Kyrgyzstan sudah pasti menyuntik semangat skuad negara, apatah lagi perlawanan itu berlangsung pada sebelah petang tetapi kecederaan tiga pemain negara, Dominic Tan, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Adam Nor Azlin, dalam perlawanan lalu menjejaskan persiapan negara.

"Apa yang kami perlu kami lakukan adalah kekalkan perkara-perkara positif ketika berdepan Kyrgyzstan.

"Ada kecederaan kepada tiga pemain tetapi ia terpulang kepada situasi mereka esok sebelum bermain dengan Korea Selatan," tambah Kim Swee.