Permulaan positif diraih oleh skuad bola sepak negara dalam Sukan Asia 2018, namun masih ada beberapa aspek yang perlu ditingkatkan sekiranya mahu merebut kesempatan mara lebih jauh dalam kempen kali ini.

Jaringan Safawi Rasid menerusi sepakan penalti dalam babak pertama serta dua gol hasil sumbangan Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad dalam separuh masa kedua memastikan pasukan kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bermula dengan baik susulan kejayaan menundukkan Kyrgyzstan 3-1 dalam perlawanan pertama Kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung.

Walaupun mengutip tiga mata, masih banyak aspek yang perlu dipertingkat sebelum berdepan Korea Selatan untuk aksi kedua, Jumaat ini.

Tatkala mereka hanya mempunyai tempoh sehari untuk memulihkan diri daripada pertemuan pertama sebelum meneruskan aksi seterusnya, Kim Swee berharap segala kekurangan dalam pasukan dapat diperbaiki.

"Daripada segi permainan, kami masih jauh daripada aksi terbaik yang mampu dipamerkan. Saya harap daripada perlawanan ini, pemain-pemain dapat terus meningkat untuk menghadapi aksi seterusnya.

"Ternyata gol kedua memberikan ruang dan keyakinan buat kami untuk terus menambah jaringan," kata Kim Swee.