Pemain skuad B-23 negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, sudah menjangka akan menjadi "sasaran" permainan keras serta fizikal Kyrgyzstan sebelum membantu skuad negara melakar kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan E, Sukan Asia 2018 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, semalam.

Kelincahan serta kepantasan yang dimiliki Akhyar menjadi antara sandaran utama dalam menjana serangan dalam aksi sulung negara.

Lantaran itu, dia sering kali menjadi mangsa terjahan keras pihak lawan dalam usaha menyekat pergerakannya di sebelah kiri, khususnya dalam babak pertama.

Tindakan ketua pasukan Kyrgyzstan, Tamirian Kozubaev, yang cuba menghalang Akhyar membawa padah apabila memberikan penalti kepada skuad negara.

"Sememangnya menjadi kelebihan buat saya (dalam situasi itu) berdasarkan fizikal saya yang lebih kecil untuk gol pertama Malaysia.

"Walaupun kekurangan daripada segi fizikal, saya mempunyai kepantasan. Kelebihan itulah yang menghadiahkan penalti buat negara," katanya.

Secara keseluruhan, Akhyar mempamerkan persembahan yang baik, malah dia turut mencetak nama selaku penjaring dengan menyempurnakan hantaran Muhammad Safawi Rasid untuk gol kedua skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

Dalam pada itu, Safawi, yang memperoleh satu gol menerusi sepakan penalti selain mencipta dua peluang jaringan, percaya masih ada banyak peningkatan yang boleh dipamerkan Malaysia menjelang aksi dengan Korea Selatan esok.

"Meskipun mendapat mata penuh, masih ada banyak yang perlu diperbaiki.

"Aksi separuh masa kedua lebih baik berbanding babak pertama.

"Terima kasih kepada rakan sepasukan yang memperkemaskan aksi dalam babak kedua sehingga membolehkan kami menambah gol," kata Safawi.