Skuad bola baling lelaki negara menerima tamparan berganda dalam aksi pembukaan Sukan Asia Indonesia 2018 apabila bukan sahaja ditimpa kekalahan terbesar, malah pemain utama, Dzulfiqar Ismail, mengalami kecederaan bahu.

Malaysia tewas dalam perlawanan pertama saingan kali ini apabila dibelasah naib juara dunia 2017, Qatar, 64-11.

Kekalahan itu merupakan keputusan terbesar dalam sejarah sukan bola baling Malaysia, namun pujian harus diberikan kepada anak-anak buah Shamsul Nizam Muhammad Ali memandangkan mereka hanya memiliki tempoh tujuh bulan untuk melakukan persiapan.

Skuad negara ketinggalan 7-33 dalam babak pertama sebelum Qatar terus mengganas untuk mengesahkan kemenangan dalam aksi pertama.

Malaysia akan menyambung aksi di Indonesia dengan perlawanan kedua berdepan Iran, Rabu ini.