Skuad bola baling lelaki negara menerima kritikan hebat selepas menanggung kekalahan kedua di pentas Sukan Asia 2018.

Selepas diaibkan juara Asia, Qatar, 64-11 dalam perlawanan pertama, skuad bimbingan Muhammad Ali Shamsul Nizam itu terpaksa menelan hakikat gagal meneruskan kemaraan ke peringkat seterusnya setelah dibelasah 55-11 oleh Iran, hari ini.

Situasi itu mencetuskan persoalan mengenai tahap permainan skuad negara untuk layak beraksi di pentas sebesar Sukan Asia.

Bagaimanapun, kapten pasukan, Muhammad Noor Solihin Mustafa Kamal, menegaskan bahawa dia dan rakan sepasukan sentiasa cuba mempamerkan aksi terbaik walaupun berdepan pelbagai kekangan.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa peluang sentiasa ada. Kami telah diberikan ruang oleh Persatuan Bola Baling Malaysia (MAHF) untuk hadir ke Sukan Asia di Indonesia, di mana bagi saya, memang kami tidak benar-benar bersedia. Namun, peluang yang ada ini merupakan sesuatu yang diraih hanya sekali seumur hidup.

"Pihak MAHF telah berkorban, mengeluarkan wang walaupun aspek itu semestinya menjadi masalah utama dalam setiap sukan yang bukan teras. Kami tidak menerima sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN), di mana kami perlu mencari dana sendiri," kata Solihin.

"Saya tidak mahu berjanji tetapi sebagai wakil skuad bola baling negara, kami seluruh pasukan bertekad mencuba yang terbaik buat Malaysia.

"Kami hanya mahukan sokongan. Kami bukan datang daripada sukan teras, malah kami meninggalkan kerja, berkorban masa hanya untuk datang ke sini."