Skuad berbasikal trek negara melalui permulaan positif di Indonesia apabila meraih pingat perak acara pecut berpasukan lelaki Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Malaysia yang dibarisi gandingan Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Mohd Zonis, gagal mengatasi cabaran wakil China selepas mencatat masa 44.598 saat tatkala lawan melakar 44.160s.

Keputusan itu bermakna Malaysia terlepas peluang untuk meneruskan kecemerlangan ketika peringkat saringan apabila trio negara itu mencatat masa 43.934s, sekaligus mencipta rekod baru kejohanan dan kebangsaan.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyokong di Malaysia. Sebenarnya, kami sangat gembira. Sejak awal sudah kami jelaskan, kami mahu pecahkan rekod kebangsaan.

"Kami tidak menyangka akan beraksi dalam final. Kami meraih perak adalah satu bonus. Secara keseluruhan, kayuhan yang dipamerkan rakan sepasukan saya mantap. Ini kali pertama saya digandingkan bersama mereka," kata Azizulhasni.

"Bagi saya, ini adalah permulaan yang baik. Ia memberikan satu motivasi untuk menghadapi acara lain."

"Sebelum ini, sudah saya jelaskan, saya hadir ke sini untuk menikmati perlumbaan dan tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Kami melakukan yang terbaik dan akhirnya berjaya memecahkan rekod kebangsaan dan kejohanan," tambah Shah Firdaus.

"Kejayaan ini untuk semua rakyat Malaysia yang selama ini menyokong kami," ujar Fadhil.