Bekas pelumba basikal trek negara, Rizal Tisin, menganggap keputusannya menyertai barisan kejurulatihan skuad Singapura sebagai satu lagi langkah penting dalam kariernya.

Rizal, yang sudah empat tahun berkecimpung dalam bidang kejurulatihan, diumum secara rasmi sebagai jurulatih oleh Persekutuan Berbasikal Singapura (SCF) pada 20 Ogos lalu.

Sebelum ini, dia pernah melatih skuad berbasikal Selangor di samping pelumba kebangsaan seperti Ju Pha Som Net.

Individu berusia 34 tahun itu juga mengikuti jejak langkah seorang lagi bekas pelumba trek negara, Josiah Ng, yang kini bersama skuad Thailand sejak awal tahun ini.

"Pada awalnya, berat untuk melakukan keputusan ini kerana tidak yakin tetapi selepas berbincang dengan keluarga, saya mencuba nasib dan rezeki menyebelahi saya.

"Saya akan cuba menjadikannya sesuatu yang dapat membuahkan hasil. Mungkin satu hari nanti, Malaysia akan memanggil saya semula," kata Rizal.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai perancangannya bersama Singapura, Rizal menganggap saingan Sukan SEA di Filipina tahun depan sebagai ujian pertama buat dirinya untuk membentuk barisan pelumba sedia ada.

SCF meletakkan impian tinggi dengan menyasarkan kedudukan podium bagi saingan Sukan Asia di Hangzhou, China, empat tahun lagi.

Bagaimanapun, cabaran besar menanti Singapura kerana mereka tidak mempunyai velodrom untuk berlatih sehingga Rizal bercadang mencari lokasi lain sebagai pusat latihan, antaranya di Velodrom Nasional Nilai.

"Diharapkan apa yang kami ada dapat membantu barisan pelumba muda. Perancangan jangka panjang telah ada dan kami dalam proses cuba mendapatkan bakat-bakat baru menjelang Sukan SEA," ujarnya.