Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, tidak dapat mencapai potensi sebenar yang diharapkan selepas meraih pingat gangsa dalam final acara keirin Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Selepas mengungguli acara pecut individu lelaki untuk menghadiahkan kilauan emas kelima buat negara semalam, Azizulhasni dijangka tidak berdepan masalah untuk meneruskan kecemerlangan dalam acara kegemarannya, keirin.

Bagaimanapun, jaguh kebangsaan itu terpaksa akur dengan kehebatan wakil Thailand, Jai Angsuthasawit, yang melakar catatan masa 10.009 saat dan pelumba Jepun, Yudai Nitta, yang mencatat 10.012s.

Azizulhasni hanya berupaya merakamkan catatan 10.071s, sekali gus mengerahnya berpuas hati pulang dengan gangsa.

"Sudah tentu saya agak terkilan apabila menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Perancangan sebenar adalah mahu mencipta sejarah, membawa pulang dua emas dan satu perak.

"Sebenarnya, saya berada di landasan yang betul. Daripada awal perlumbaan, pusingan pertama, saya menyimpan tenaga dan sengaja menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan ketiga.

"Kemampuan untuk menang memang ada dalam final. Cuma dalam pusingan terakhir, pelumba Jepun berada di depan tetapi wakil Thailand berada di bahagian luar untuk menutup ruang. Saya tidak dapat melakukan apa-apa.

"Pada waktu itu, saya mahu terus memotong tetapi takut akan berdepan pembatalan. Jadi, saya beraksi selamat dan mengintai sebarang ruang yang ada. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan gangsa yang diraih.

"Saya berjumpa jurulatih dan dia menenangkan saya. Dia juga menegaskan kami harus berbangga kerana hadir ke sini dengan sasaran satu emas tetapi akhirnya mendapatkan pakej lengkap (satu emas, satu perak dan satu gangsa)."

"Salah satu kelebihan utama Jai adalah dia bukan pilihan. Tiada siapa yang menyangka dia mampu melakukannya.

"Namun, saya tidak memandang rendah kemampuannya. Cuma, dia berada di tempat yang betul pada waktu yang tepat. Mungkin (jurulatihnya) Josiah sudah mengetahui taktik dan pergerakan saya, jadi dia merancang untuk menyekat saya.

"Tidak mengapa, itu sebahagian daripada perlumbaan. Inilah keirin dan saya berbangga dengan apa yang diraih Jai dan Josiah. Mungkin kejayaan ini dapat memastikan kerja Josiah kerana sebelum ini ia hanya bertaraf sementara dan saya doakan yang terbaik untuknya," tambahnya.

Kredit foto: Asiana