Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang, meraih emas kelima buat kontinjen Malaysia apabila memenangi acara pecut individu lelaki Sukan Asia 2018 di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Azizulhasni terdahulu meneruskan kemaraan ke final selepas menewaskan pelumba Korea Selatan, Im Chae-bin, dalam separuh akhir.

Menantinya adalah pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya,yang mengatasi rakan sepasukan Azizulhasni, Shah Firdaus Sahrom, di peringkat separuh akhir.

Azizulhasni membuktikan dia adalah pelumba yang lebih unggul dalam persaingan tiga perlumbaan terbaik dan memenanginya dengan keputusan 2-0.

"Saya bersyukur di atas kemenangan ini. Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak dan akhirnya tugas ini sudah berakhir," kata Azizulhasni.

"Saingan ini telah memberikan halangan tekanan mental dan fizikal. Saingan dalam separuh akhir adalah lebih sukar berbanding final dan saya sangat gembira di atas kemenangan ini.

"Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia dan berharap untuk beraksi cemerlang dalam saingan keirin esok."

"Saya berbangga dengan kemenagan Azizulhasni ini dan usaha kami membuahkan hasil. Shah Firdaus hampir membutirkan pingat gangsa tetapi ia tidak berhasil," kata jurulatih negara, John Beasley.

Kemenangan 'The Pocket Rocketman' ini menyaksikan Malaysia kini telah meraih lima emas dalam Sukan Asia kali ini, ketinggalan dua sahaja lagi daripada sasaran tujuh emas yang telah ditetapkan sebelum temasya bermula.

Sementara itu, Shah Firdaus yang beraksi dalam penentuan pingat gangsa, terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 kepada pelumba Korea Selatan, Chae-bin.

"Saya terkilan kerana gagal meraih pingat untuk Malaysia. Dalam saingan separuh akhir, saya mengakui hilang rentak. Perlumbaan penentuan, saya telah memberikan yang terbaik, tetapi Chae-bin memiliki lebih tenaga dan berjaya memintas saya," kata Shah Firdaus.

"Ia merupakan persembahan yang terbaik daripada Azizulhasni dan berjaya menyumbang satu pingat emas dan satu pingat perak. Dia akan turun beraksi dalam acara keirin dan kami berharap dia mampu mengulangi persembahan hari ini," kata Menteri Belia dan Sukan.

Imej: Asiana