Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, menyifatkan Sukan Asia Jakarta-Palembang sebagai pencapaian terbaiknya sepanjang penampilannya sejak 2010 dan kini akan kembali memberi perhatian kepada kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meskipun gagal untuk mencapai misi merampas pingat emas bagi acara kegemarannya, keirin individu, yang pernah dimenangi di Guangzhou, China, lapan tahun lalu, Azizulhasni tetap puas sambil menganggap edisi kali ini adalah pencapaian terbaik sepanjang penampilannya.

Fokus utamanya setibanya di tanah air adalah untuk kembali menilai kelemahan yang harus diperbaiki segera dalam acara keirin sebelum dia bersedia mengikuti enam siri Piala Dunia yang bermula di Paris dan Kanada bulan depan.

Pastinya tiada rehat yang panjang buatnya kerana saingan itu cukup penting dalam usaha merebut mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Ia sebahagian daripada proses kelayakan.

"Kami perlu mengumpul mata dalam siri Piala Dunia bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Lebih menarik lagi, Malaysia kini mempunyai pasukan pecut yang mantap.

"Sebelum ini saya hanya memikirkan untuk layak menerusi acara individu, namun selepas mencatat rekod baru kebangsaan (43.934s dalam sesi saringan Sukan Asia), catatan masa itu meletakkan kami di ranking kelapan dunia tahun lalu," katanya.

Namun, Azizulhasni lebih terkesan dengan kejayaan bagi acara pecut berpasukan di samping Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis apabila meraih perak dengan memperbaharui rekod kebangsaan berusia 10 tahun.

"Saya tidak balik dengan tangan kosong.

"Saya menyasarkan pingat dalam saingan individu, namun beberapa kesilapan semasa separuh akhir dan final menyebabkan saya tiada rezeki," kata Shah Firdaus yang hanya dapat berpuas hati dengan pingat perak pecut berpasukan.