Dua pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, mempamerkan kayuhan cemerlang untuk mara ke peringkat separuh akhir acara pecut individu lelaki Sukan Asia Jakarta-Palembang di Velodrom Antarabangsa Jakarta, hari ini.

Azizulhasni, yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016, mudah menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto, dalam dua perlumbaan suku akhir.

Shah Firdaus pula terpaksa bertarung dalam perlumbaan ketiga dalam aksi suku akhir menentang wakil China, Xu Chao, sebelum meraih kemenangan 2-1.

Sementara itu, ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, berpuas hati dengan prestasi kedua-dua pelumba berkenaan, terutama Shah Firdaus yang terpaksa bersaing dalam tiga perlumbaan sebelum mengatasi pelumba China itu.

“Saya berasakan kita baru melakukan separuh daripada tanggungjawab kita kerana kita tidak menjangkakan untuk mara sejauh ini. Jadi, banyak lagi perlu kita lakukan esok.

“Kedua-dua pelumba dalam keadaan prestasi baik, namun kita akan berdepan cabaran satu demi satu.

" Menjadi impian saya untuk melihat kedua-dua pelumba ini bersaing dalam perlumbaan akhir. Tetapi mereka perlu menewaskan lawan masing-masing terlebih dahulu,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.

Terdahulu, wakil tunggal negara dalam acara kejar-mengejar individu, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, gagal melayakkan diri dalam acara berkenaan setelah menduduki tangga kelapan daripada 14 pelumba dengan catatan masa 4 minit 36.723 saat.

Berdasarkan format pertandingan, hanya empat pelumba terbaik pusingan kelayakan, layak ke aksi penentuan pingat emas, perak dan gangsa.

Dalam pada itu, pelumba wanita negara, Ju Pha Som Net gagal meraih kedudukan podium dalam acara omnium setelah mengutip 118 mata dalam perlumbaan berkenaan.

Pingat emas diraih pelumba Jepun, Yumi Kajihara, dengan kutipan 138 mata, perak dimenangi pelumba Taiwan, Huang Ting Ying (126 mata), manakala pelumba Korea Selatan, Kim Youri, terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa (121 mata).

Untuk rekod, Malaysia sudah meraih satu pingat perak menerusi acara pecut berpasukan lelaki pada hari pembukaan acara berbasikal trek, Isnin lalu.

-- BERNAMA