Persembahan terburuk yang dipamerkan skuad badminton negara dalam saingan Sukan Asia kali ini kemungkinan menyaksikan kajian semula dilakukan terhadap program latihan sedia ada.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menampilkan pemain-pemain yang dijadikan sandaran pingat tatkala bahagian beregu campuran serta beregu lelaki menjadi tumpuan.

Bagaimanapun, hanya dua gandingan lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mara ke suku akhir sebelum cabaran mereka disekat oleh gandingan tuan rumah.

Ketiadaan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, yang menarik diri akibat faktor kesihatan seharusnya membuka mata BAM bahawa mereka tidak lagi boleh bergantung kepada pemain berusia 35 tahun itu.

Justeru, perlu ada langkah segera yang perlu diambil oleh Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM sekiranya ingin memastikan program ketika ini masih lagi relevan dalam mempersiapkan pemain untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya serta barisan C&T akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini untuk melihat secara drastik, apakah yang telah berlaku serta prestasi pemain-pemain kami. Ia juga merangkumi program latihan dan kredibiliti jurulatih-jurulatih.

"Saya rasa kami harus melakukan perubahan yang lebih membawa kepada keadaan yang lebih baik untuk menghadapi saingan Tokyo 2020," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Buat kali pertama sejak edisi 1986 di Seoul, acara badminton gagal menyumbangkan sebarang pingat buat kontinjen negara dalam saingan Sukan Asia, sekali gus diletakkan dalam kategori gagal hasil penilaian daripada ketua kontinjen negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.