Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, mahu anak buahnya segera melupakan kesukaran undian dalam saingan berkumpulan dengan mengharapkan imbauan semula Istora Senayan ketika zamannya sebagai pemain mampu berulang dalam Sukan Asia 2018 bermula Isnin ini.

Badminton sudah pasti menjadi acara tumpuan, terutama untuk Malaysia yang diundi bertemu Jepun bagi acara berpasukan.

"Saya sudah memberitahu pemain kita apa yang perlu dilakukan berdepan pemain-pemain Jepun. Saya pesan kepada mereka, jangan terlalu hormat lawan.

"Kita bermain di sini, kita belum tahu kalah atau menang, yang penting mereka dapat memberikan cabaran yang kuat kepada lawan.

"Kita tahu kita adalah pasukan bukan pilihan dan saya harap mereka dapat bermain dengan baik," katanya.

Pengalaman Misbun sendiri yang sudah biasa di gelanggang itu ketika tempohnya sebagai pemain, sudah tentu boleh dijadikan inspirasi kepada barisan pemain muda negara.

"Saya banyak kali bermain di sini, termasuk ketika bermain sebagai individu dalam pasukan Piala Thomas.

"Sudah tentu banyak kenangan di sini. Ketika 80-an, saya juga pernah masuk final dalam Terbuka Indonesia dan banyak lagi. Itu adalah kenangan saya yang lalu," katanya.