Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, menyifatkan peluang skuad berpasukan lelaki mengulangi pencapaian gangsa Sukan Asia sebagai tugas mustahil apabila diundi dalam laluan sukar bermula dengan menentang Jepun dalam pusingan pertama di Indonesia.

Malaysia umpama berdepan deretan gergasi dalam saingan berpasukan lelaki, dengan Jepun selaku pilihan ketiga adalah lawan Malaysia dalam pusingan pertama dan jika keajaiban berlaku, Korea Selatan atau Thailand menunggu dalam suku akhir.
Situasi itu meletakkan Malaysia selaku "underdog" di Istora Senayan, terutama selepas ketiadaan perseorangan utama, Datuk Lee Chong Wei, yang menarik diri ekoran masalah kesihatan.

"Saya melihat bahawa laluan kami memang sukar dan kami awa-awal lagi sudah tahu bahawa kami adalah satu pasukan bukan pilihan.

"Pun begitu, saya lebih opitimis dengan pemain-pemain muda untuk mereka menunjukkan prestasi terbaik," kata Misbun.

Badminton menyumbang empat gangsa dalam temasya di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran dua pingat dengan harapan terbaik dalam beregu lelaki dan beregu campuran.