Skuad skuasy lelaki menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Malaysia dalam Sukan Asia 2018 selepas menundukkan pilihan utama, Hong Kong, 2-1 di Pusat Skuasy Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Setelah Ivan Yuen terlepas peluang untuk menghadiahkan mata pertama susulan kekalahan 7-11, 18-20, 11-9, 8-11 di tangan Yip Tzs Fung, Nafiizwan Adnan memberi harapan buat negara menerusi kemenangan ke atas Max Lee 11-9, 11-7, 11-7.

Sedar dengan harapan besar yang digalas, perseorangan ketiga negara dengan status juara remaja dunia, Ng Eain Yow, memastikan kilauan emas menjadi milik Malaysia selepas melepasi cabaran Au Chun Ming 11-7, 11-7, 11-4.

"Memang susah untuk dipercayai. Walaupun kami sedar peluang itu ada, memang sukar untuk berdepan Hong Kong. Kami sangat gembira akhirnya dapat meraih emas," kata Eain Yow.

"Syukur Alhamdulillah, kami sudah melakukan persediaan sejak awal di Malaysia dan hadir ke sini dengan keadaan cukup bersedia," tambah pemain negara, Syafiq Puteh.

"Sudah tentu ini satu pencapaian yang besar buat kami. Emas untuk acara berpasukan. Semua pemain memberi galakan antara satu sama lain dan ia sangat membantu kami," ujar Ivan.

"Alhamdulillah, setelah tiga final Sukan Asia dalam masa lapan tahun, akhirnya kami menang. Ia membuatkan kami berasa seperti di syurga.

"Kami melakukannya sebagai satu pasukan," kata Nafiizwan.

Kejayaan itu menyaksikan skuad lelaki menebus kehampaan pasukan wanita dalam acara berpasukan, selepas Low Wee Wern dan Datuk Nicol Ann David terkandas dalam separuh akhir akibat kekalahan 2-0 di tangan wakil India, Joshna Chinappa dan Dipika Pallikal Karthik, semalam.



Kredit foto: @myTeamMAS