MALAYSIA 6 JEPUN 6
(Jepun menang penentuan penalti 3-1)

Harapan skuad hoki negara meraih emas tidak kesampaian apabila Jepun bangkit untuk mengikat kedudukan 6-6 sebelum menewaskan Malaysia menerusi penentuan penalti 3-1 dalam final di Padang Hoki Gelora Bung Karno, sebentar tadi.


Malaysia mendahului saingan hingga suku terakhir perlawanan 5-2 dan berada di ambang untuk muncul pemenang pingat emas Sukan Asia -- seharusnya emas kelapan kontinjen negara -- bagi melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Namun, kebangkitan yang dipamerkan oleh Jepun, dengan semangat juang menggilanya, ternyata mengejutkan skuad kendalian Stephen Van Huizen itu, dengan tiga gol dalam tujuh minit menyaksikan kedudukan terikat 5-5.

Pada penghujung permainan, Malaysia kembali mendahului menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil tetapi Hiroshima Ochiai menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 13 saat, sekali gus penentuan pukulan penalti harus dijalankan bagi menentukan pemenang.

Kegagalan Faizal Saari, Meor Muhammad Azuan Hasan dan Tengku Ahmad Tajuddin menyempurnakan pukulan penalti menyaksikan Jepun memenangi pingat emas, sekali gus meragut kelayakan automatik Malaysia untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sukar untuk saya bercakap pada ketika ini. Kami telah melakukan kesilapan yang membenarkan Jepun menghasilkan peluang tetapi masih belum rezeki untuk Malaysia beraksi dalam Sukan Olimpik," kata kapten negara, Sukri Abd Mutalib.