Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan kehebatan mara ke final apabila dua regunya menumpaskan lawan masing- masing dalam separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) di Dewan Badminton Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, petang tadi.

Dalam separuh akhir pertama, Regu UPM A yang diwakili tekong utama, Meor Muhamad Zulfikar, Muhammad Danial Baharin (apit kanan) dan Muhamad Suhairi Sulaiman (apit kiri) jelas tidak menghadapi banyak masalah untuk menumpaskan Regu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) B 2-0 (21-8, 21-14) dalam masa setengah jam.

Kelajuan servis kuda Meor Muhamad dan dibantu libasan kencang Muhamad Danial jelas memerangkap regu UTHM B yang dibarisi Anuar Ezaidie Salleh, Muhammad Syafiq Ibrahim dan Muhammad Iqbal Asyraff Fitry Abd Razak.

Sementara itu, dalam separuh akhir kedua, Regu UPM B jelas bersemangat bagi memastikan perlawanan akhir sesama sendiri apabila mengatasi saingan sengit Regu Universiti Teknologi Mara (UiTM) A 2-0 (24-22, 21-18).

UPM B yang menurunkan tekong, Muhammad Ikhwan Abdul Rahman, Muhammad Anas Muhaimi dan Shaiful Azri Shahnon diheret bermain di mata dius apabila kedua-dua regu terikat 20-20.

Namun, ketenangan Ikhwan berjaya mengawal emosi dua lagi rakannya untuk menang set pertama 24-22.

Dalam set kedua, UiTM A melalui servis tekongnya, Muhammad Haifal hampir berjaya mengejar UPM B, namun dikecewakan pertahanan mantap regu lawan.

Libasan kencang apit kanan, Muhammad Anas, membolehkan UPM B menang set kedua 21-18, sekali gus menempuh perlawanan akhir sesama sendiri, pagi esok.

Jurulatih UPM, Ahmad Sufi Mohamed Hashim, jelas bersyukur dengan kejayaan anak buahnya dan menjanjikan aksi terbaik dalam final esok.

"Biar mereka tentukan siapa yang lebih berhak bergelar juara," katanya.