Menjelang pemilihan exco baru Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), 24 Jun ini, barisan bekas pemain kebangsaan membentuk satu gerakan digelar 'Jom Bangkit' bagi tujuan mendesak kepimpinan terdahulu memberi laluan kepada muka baru untuk kelangsungan sepak takraw negara.

Gerakan yang telah pun diasaskan sejak 2014 itu menghimpunkan barisan pemain sepak takraw negara dalam usaha memberikan pandangan untuk menaikkan kembali sukan yang menjadi tradisi di Malaysia.

Bagaimanapun, suara mereka kerap dipinggirkan, ditambah pula dengan aksi kurang meyakinkan skuad kebangsaan sejak beberapa tahun ini menambahkan lagi kekecewaan mereka.

Sehubungan itu, mereka menuntut agar kepimpinan lama yang ditunjangi presiden sedia ada, Datuk Seri Ahmad Ismail, agar memberi laluan kepada muka baru untuk memimpin dan menstrukturkan semula PSM.

"Pada 2017, kami daripada gerakan Jom Bangkit datang untuk membantu. Ini mungkin kali terakhir bekas-bekas pemain datang (bertemu PSM).

"Kalau sebelum-sebelum ini, apabila kami membuat pendedahan, ia senyap begitu sahaja.

"Selagi sesuatu perkara itu tidak betul, kami akan tetap berpendirian begitu," kata bekas pemain, Suhaimi Yusof.

Seorang lagi bekas pemain, Awalludin Abd Hamid, pula mempersoalkan mengapa Ahmad masih enggan mengundurkan diri selepas berikrar melakukannya sekiranya gagal dalam Sukan Asia Guangzhou 2010, apabila berkata: "Sehingga kini, dia masih tidak meletak jawatan.

"Mana janjinya, inilah masanya untuk Tok Mat melepaskan jawatan."

"Semua rakyat Malaysia tahu kemerosotan sepak takraw negara, jadi, fikir-fikirkanlah," tambah bekas apit kanan negara, Mohd Farid Hamdan.

"Kepada Tok Mat, berundurlah." .

Ahmad sudah pun menduduki kerusi presiden selama empat penggal berturut-turut sejak 2002.

Selain Ahmad, dua calon lain yang bertanding adalah Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka, Datuk Akrammuddin Abd Aziz, dan Presiden Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran.