Kapten pasukan skuad sepak takraw negara, Muhd Syahir Rosdi, tidak mahu mimpi ngeri berulang lagi di kota Palembang selepas fokus mereka kini tertumpu kepada acara regu berpasukan dan perlu menundukkan dua pasukan terkuat untuk mencerahkan harapan meraih pingat dalam Sukan Asia Indonesia.

Setelah rayuan demi rayuan untuk mengembalikan Malaysia beraksi dalam acara antara regu seakan tiada titik sinar buat kem negara, tumpuan barisan pemain Malaysia ketika ini adalah kepada acara regu berpasukan.

Namun, laluan semakin berliku apabila mereka diundi dalam kumpulan maut bersama juara bertahan, Thailand, dan pemenang pingat perak Sukan Asia Incheon 2014, Korea Selatan.

Selain dianggap mustahil untuk menundukkan Thailand, Malaysia juga perlu memikirkan strategi terbaik berdepan Korea Selatan setelah kali terakhir mereka bertemu dalam Piala Raja Thai, Disember tahun lalu, yang menyaksikan Malaysia tewas.

"Kami ambil iktibar daripada Sukan SEA tahun lalu dan saya harap mimpi ngeri tidak menimpa kami lagi. Kami akan mengambil yang terbaik kali ini," katanya.

Syahir secara peribadi masih menyimpan dendam terhadap Thailand apabila dimalukan di hadapan penyokong sendiri ketika Sukan SEA dalam acara regu berpasukan sehingga mengundang kritikan umum terhadap dirinya dan rakan sepasukan.

Mereka baru sahaja tiba di Palembang hari ini dan akan memulakan perlawanan pertama pada Ahad ini.

"Kami sentiasa fokus dalam acara berpasukan. Apabila kami menumpukan perhatian, Insya-Allah akan hadir keputusan yang baik," katanya lagi.