Skuad sepak takraw negara menerima berita gembira apabila dibenarkan beraksi dalam acara antara regu Sukan Asia 2018 selepas pasukan Malaysia tercicir semasa majlis undian bulan lalu.

Perkembangan terbaharu itu disahkan Presiden Persatuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader, dalam temu bual eksklusif bersama Bernama, malam ini.

Abdul Halim berkata setelah meneliti dan mengambil kira hubungan serantau dalam menghadapi temasya sukan terbesar di Asia itu, Astaf sebulat suara membenarkan kembali penyertaan Malaysia dalam acara berkenaan.

Penyertaan Malaysia dalam acara antara regu lelaki sebelum ini menjadi tanda tanya selepas Malaysia tidak tersenarai dalam acara yang menjadi sandaran emas itu, sebaliknya hanya disenaraikan dalam acara regu berpasukan dan beregu berpasukan.

“Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) meminta pandangan Astaf untuk membuat keputusan mengenai nasib Malaysia.

“Jika dilihat dalam Buku Panduan Teknikal Sukan Asia 2018, ada menyatakan andai terdapat isu teknikal, keputusan itu terserah kepada badan induk sukan di Asia untuk memutuskannya dan itulah yang kita lakukan terhadap isu ini,” katanya.

Abdul Halim turut menegaskan keputusan berkenaan dibuat kerana beliau menghormati Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan setiausahanya, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

Mengulas lanjut, Abdul Halim yang berasal dari Singapura, berkata walaupun mendapat tentangan hebat dan protes daripada semua negara yang bertanding dalam acara berkenaan, Astaf tetap dengan keputusan untuk membenarkan penyertaan Malaysia.

“Pasukan tuan rumah, Indonesia, China, Pakistan, Singapura, India, Filipina, Korea Selatan dan Nepal membuat protes, tetapi demi memikirkan kesejahteraan sejagat, Astaf mengetepikan semua protes itu selepas mengadakan mesyuarat bersama wakil-wakil negara bertanding,” katanya.

Ditanya sama ada undian semula akan diadakan atau sebaliknya, Abdul Halim enggan mengulas lanjut.

Aksi pertama skuad negara akan bermula Ahad ini, dalam acara regu berpasukan menentang Thailand.