Perejam terbaik dunia dari Thailand, Pornchai Kaokew, sedia untuk menghampakan barisan Malaysia sekali lagi sebagaimana pasukannya lakukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan pembukaan acara regu berpasukan Sukan Asia Indonesia, esok.

Ia merupakan penampilan kelima Pornchai di pentas Sukan Asia dan sudah memenangi lapan pingat emas sepanjang beraksi sejak edisi 2002 di Busan, Korea Selatan.

Biarpun usianya sudah menginjak ke 37 tahun, Pornchai masih bernafsu untuk memenangi emas pada edisi kali ini.

"Kami sudah menjalani latihan dengan rapi sejak awal tahun dan kami hadir ke sini, sudah semestinya mahu memenangi emas," katanya.

Menjelang perlawanan pembukaan menentang Malaysia, Pornchai mengakui dia dan rakan sepasukannya sudah mampu membaca gaya permainan skuad Malaysia berdasarkan beberapa pertemuan sebelum ini.

Ketika Sukan SEA lalu, barisan pemain Thailand menumpaskan Malaysia 3-0 dalam aksi regu berpasukan.

"Malaysia mempunyai barisan pemain yang bagus dan ada muka baru, namun kami percaya kami lebih baik dan bersedia untuk berlawan dengan sesiapa sahaja," katanya lagi.