Peluang Malaysia untuk meraih emas sepak takraw dalam Sukan Asia 2018 kembali cerah apabila diterima masuk dalam Kumpulan B acara antara regu, namun pada masa yang sama masih berdepan protes berterusan daripada pihak tuan rumah, Indonesia.

Mesyuarat pengurus pasukan yang bersidang selama tiga jam hari ini menyaksikan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan Malaysia boleh mengambil bahagian dalam acara regu dan bukan lagi pasangan berpasukan.

Tiada undian semula dilakukan, sebaliknya ISTAF menggunakan kuasa autonomi dengan meletakkan Malaysia dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, China, Nepal dan India.

Ia sekali gus memberi harapan untuk Malaysia meraih pingat emas dalam acara itu kerana pasukan terbaik dunia, Thailand, tidak mengambil bahagian.

"Kami akan buat perubahan yang sepatutnya dan kami juga akan membuat perubahan dalam pasukan," kata Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

"Daripada awal lagi, kami memberi penerangan bahawa kami mahu memastikan pasukan Malaysia dibenarkan menyertai acara regu. Untuk berada dalam mana-mana kumpulan, tiada masalah bagi Malaysia," kata pengurus pasukan Malaysia, Zakaria Din.

Bagaimanapun, ketegangan berlaku sejurus keputusan diumumkan pihak ISTAF apabila Presiden Persatuan Sepaktakraw Indonesia (PSTI), Asnawi Abdul Rachman, memprotes kemasukan Malaysia dalam acara regu sambil mengajak beberapa pengadil Indonesia memboikot daripada terlibat dalam mengadili perlawanan.

"Ia pastinya ditolak oleh kami semua. Saya yakin seluruh negara pasti menolak," kata Asnawi.