Saga isu disiplin membabitkan dua bekas tekong negara, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, akhirnya dinoktahkan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dengan memutuskan penggantungan selama dua tahun sehingga 2021 serta perlu terlibat dengan kerja kebajikan selama 30 jam.

PSM menjelaskan penangguhan untuk menetapkan hukuman adalah kerana Jawatankuasa Tindakan Tatatertib tidak mencapai kata putus, sekali gus menyerahkan tugas membuat keputusan tersebut kepada mesyuarat exco setelah mendapat mandat daripada ahli majlis tertinggi PSM.

Mesyuarat exco hari ini mencapai kata sepakat menjatuhkan hukuman dua tahun ke atas Syahir dan Zulkifli bermula ketika surat pengguguran dan penggantungan sementara dikeluarkan bertarikh 27 Jun 2019 sehingga 26 Jun 2021.

Sebagai tambahan, kedua-dua bekas tekong emas negara itu juga perlu menjalani kerja-kerja kebajikan membabitkan pembangunan sepak takraw, iaitu menjadi rakan pelatih untuk mana-mana pasukan tempatan ataupun terlibat dengan membantu melatih pasukan-pasukan di peringkat sekolah.

"Saya berharap perkara ini sebagai pengajaran buat setiap pemain negara untuk tidak mengeluarkan sebarang tuduhan kepada pihak PSM," kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh.

Bagaimanapun, Syahir dan Zulkifli masih mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada PSM bagi mengurangkan tempoh hukuman dua tahun itu.

"Mereka akan melakukan kerja-kerja kebajikan melibatkan sepak takraw dengan melatih dan berkongsi ilmu mereka."