Selepas kecewa gagal meraih emas dalam acara regu berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) 2018, skuad sepak takraw Pulau Pinang bangkit untuk menebus kekecewaan itu dengan meraih emas acara regu selepas mudah menumbangkan Johor 2-0 di pentas final.

Pulau Pinang diletakkan antara pilihan utama untuk memenangi acara regu lelaki, bukan sahaja bersandarkan kepada status juara bertahan, namun turut membariskan pemain kebangsaan, Said Ezwan Said De, sebagai tekong utama mereka.

Aksi final, selain membariskan Said Ezwan, Pulau Pinang turut menurunkan Amir Aizad Roshanizam sebagai apit kiri dan Aiman Haiqal Naim sebagai perejam sementara lawan, Johor, menurunkan trio Nor Aiman Yusman sebagai tekong, Wafi Iskandar Hadi sebagai apit kiri dan perejam, Muhd Ashraf Azizan.

Set pertama sudah menampakkan penguasaan Pulau Pinang apabila mereka menang mudah 21-12.

Emas semakin dalam genggaman Pulau Pinang apabila trio Johor banyak melakukan kesilapan sehingga banyak memberi mata mudah buat lawan.

Trio Pulau Pinang itu akhirnya berjaya menoktahkan kejayaan dengan keputusan 21-10 dalam set kedua, sekali gus mempertahankan emas yang dimenangi mereka ketika edisi 2016 di Sarawak.

"Tekanan yang tinggi buat pasukan tetapi saya cuba memberikan yang terbaik. Kemenangan ini memberikan motivasi buat pemain-pemain muda Pulau Pinang," kata Said Ezwan.

"Pulau Pinang adalah pasukan yang berkualiti. Mereka menurunkan tekong yang telah meraih pengalaman beraksi di pentas antarabangsa dan beberapa kesilapan menyaksikan Johor tewas dalam aksi final," kata jurulatih Johor, Mohd Iskandar Yusof.