Pengendali skuad sepak takraw lelaki Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma), Mohd Futra Abdul Ghani, tidak meragui kemampuan pemain-pemainnya walaupun buat seketika mereka kelihatan hampir tewas dalam final berpasukan lelaki, semalam.

Aksi final berpasukan lelaki menyaksikan Pulau Pinang terlebih dahulu meraih mata pertama apabila regu A mereka menewaskan wakil Terengganu 21-18, 21-6.

Namun, regu B Terengganu kembali bangkit untuk menang 21-11, 16-21, 21-8 bagi mengikat kedudukan 1-1 sebelum gandingan Che Ku Amirul Ariff Che Ku Azmi, Mohd Allef Musa dan Nasrul Nazri turun yang selaku regu C melakar kebangkitan dramatik untuk menghadiahkan kemenangan buat Terengganu menerusi catatan mata 21-19, 5-21, 21-17.

Kemenangan itu menyaksikan Terengganu mengekalkan dominasi berpasukan lelaki selepas turut meraih emas dalam edisi sebelum ini.

"Sebenarnya, saya 100 peratus percaya dengan pemain-pemain saya. Walaupun ada kala kami ketinggalan, namun sebagai jurulatih, kami sentiasa percaya kepada mereka.

"Saingan memang sengit daripada Pulau Pinang tetapi Alhamdulillah pemain-pemain Terengganu dapat bertahan daripada segi mental," kata Futra.

"Barisan jurulatih telah memberi ketenangan kepada kami dan akhirnya, kami dapat menghadapi perlawanan dengan baik. Kami cuba dalam set ketiga dan berjaya melakukannya dengan meraih emas," tambah Che Ku Amirul.