"Tiada rahsia buat Sabah, hanya disiplin faktor kekuatan kami."

Itu luahan jurulatih skuad sepak takraw wanita Sabah, Daut Amba, selepas mempertahankan pingat emas berpasukan wanita buat tiga edisi Sukan Malaysia (Sukma) berturut-turut.

Aksi final berpasukan wanita berdepan tuan rumah, Perak, semalam menyaksikan Sabah diberi tentangan sengit.

Perak menang dalam aksi regu A, namun Sabah bangkit memenangi saingan regu B dan C untuk memastikan emas sekali lagi terbang ke Negeri Di Bawah Bayu.

"Perak memiliki kelebihan tuan rumah dan penyokong-penyokong sendiri, jadi pemain-pemain kami agak gementar. Namun, saya mengingatkan kepada pemain-pemain bahawa disiplin dan semangat juang perlu tinggi," katanya.

Bagi Daut, disiplin memainkan peranan penting dalam menentukan jatuh bangun mana-mana pasukan dan sebab itu ia dititikberatkan dalam skuad wanita Sabah.

"Itulah rahsianya. Disiplin harus tinggi, latihan perlu gigih dan harus sentiasa menghormati barisan jurulatih. Mereka sentiasa memiliki pengalaman yang penting, seperti saya dan jurulatih dari Thailand."