Tekong negara, Mohd Syahir Rosdi, mengakui misi untuk mempertahankan emas kali ini lebih sukar, namun mengharapkan rakan sepasukan mampu mengungguli acara berpasukan buat kali pertama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan.

Selepas skuad negara menamatkan kemarau pingat emas 10 tahun di Singapura 2015, mereka kini memasang hajat memastikan pingat emas kekal berada di Malaysia.

Bagi Syahir, tiada alasan untuk tidak mempertahankan kejayaan dalam acara regu di Kuala Lumpur jika menilai persiapan rapi yang telah dijalankan.

Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu berasakan sudah tiba masa kem sepak takraw negara menyasarkan pingat emas dalam acara berpasukan.

"Saya memang yakin untuk mendapatkan pingat emas, terutama dalam acara berpasukan. Ini kerana sudah lama kami tidak merasai emas dalam acara itu.

"Kalau boleh, saya mahu kesemua 12 pemain merasai pingat emas," ujar Syahir.

Kehadiran rakan sepasukan, Hanafiah Dollah, dalam skuad selepas pulih daripada kecederaan turut memainkan peranan penting bagi Syahir.

Selaku ketua pasukan, Syahir turut menitikberatkan keserasian dengan beberapa pemain baharu yang telah diberikan kepercayaan bertanding dalam temasya Kuala Lumpur 2017.

"Daripada segi keserasian memang baik kerana kami sudah bermain bersama untuk tempoh lama, terutama bersama Hanafiah.

"Azlan juga sudah bermain setahun bersama saya," tambahnya.