Jurulatih sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, memilih Thailand sebagai tempat berguru dari 3 April hingga 1 Mei depan sebagai persediaan untuk Sukan SEA, Ogos depan.

Thailand merupakan pesaing utama skuad negara, namun kunjungan ke Negara Gajah Putih itu selama sebulan dianggap sebagai strategi terbaik menjelang Sukan SEA.

Abdul Talib tidak melihat kunjungan ke Thailand sebagai membuka ruang untuk pihak lawan membaca lebih awal kekuatan yang dimiliki Malaysia ketika ini.

Sebaliknya, beliau yakin sesuatu mampu dibawa pulang, lebih-lebih lagi melibatkan persediaan skuad negara berhadapan musuh tradisi mereka nanti.

"Kami akan ke Thailand sebagai persiapan terakhir, kami tidak akan menurunkan regu terbaik kami dalam usaha mengenal pasti kebolehan pasukan lawan," kata Abdul Talib.

Emas tunggal di Sukan SEA Singapura dua tahun lalu, hanya hadir selepas 10 tahun Malaysia ketandusan emas bagi sukan sepak takraw.

Malaysia mahu mempertahan emas bagi acara regu, namun Thailand yang merupakan juara lapan kali berturut-turut sebelum ini dijangka menjadi penghalang terbesar buat skuad negara.

"Sentuhan kemenangan semakin menghampiri kami, kami akan cuba untuk mengulangi kejayaan dalam Kejohanan Siri Super 2015 dengan menewaskan Thailand untuk meraih pingat emas."