Malaysia melancarkan perang psikologi awal dalam sukan sepak takraw apabila Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih belum mahu mendedahkan senarai 21 pemain yang akan mengibarkan cabaran negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Kurang 14 hari menjelang pembukaan rasmi temasya dwitahunan itu, Malaysia masih lagi berteka-teki mengenai barisan pemain yang akan mewakili negara dalam acara regu, kumpulan dan juga doubles.

Meskipun sudah mempunyai skuad bayangan, barisan kejurulatihan negara tidak mahu mendedahkan perancangan terperinci bagi mengelak pasukan lawan membuat analisis terhadap kekuatan Malaysia.

Perang saraf Malaysia tidak terhenti di situ apabila menggunakan kelebihan sebagai tuan rumah dengan menyenaraikan seramai 21 pemain berbanding lawan serantau yang hanya boleh menyenaraikan 18 pemain.

"Tujuan jurulatih mengambil langkah ini kerana perang psikologi selain mahu barisan pemain negara dirahsiakan.

"Kalau pencabar lain tahu barisan pemain negara, mereka akan mengatur strategi bagi mengelak pemain-pemain tertentu andai bertemu Malaysia," kata ketua pasukan negara, Syahir Rosdi.

Lawan utama Malaysia sudah pasti Thailand yang dikhabarkan akan menggunakan khidmat perejam veteran, Pornchai Kaokaew, dan beberapa tonggak penting seperti Sittipong Kamchan dan Siriwat Sakha dalam acara berpasukan.

"Nama-nama besar ini tidak membawa erti apa-apa.

"Kami dah kerap berjumpa dan sudah dapat membaca servis Thailand."