Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, masih mempunyai baki enam tekong dalam pasukan untuk mengisi kekosongan tonggak utama, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak, yang digugurkan kerana masalah disiplin bulan lalu.

Talib sudah bersiap dengan pelan sokongan apabila mula mempersiapkan beberapa tekong untuk menggalas tugas utama dalam Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Antara yang masih kekal adalah Said Ezwan Said De, Muhammad Hairul Hazizi, Muhammad Syahmi Husin, Adam Azman Zainol, Aizat Nor Azmi dan juga yang paling muda, Zarif Merican, yang baru berusia 18 tahun.

Jumlah keseluruhan pelatih dalam skuad sepak takraw negara kini adalah 22 orang setelah ketiadaan Syahir dan Zulkifli.

"Saya percaya mereka mampu menggalas tugas dalam Sukan SEA 2019.

"Sasaran kami tidak berubah dan kami akan cuba mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2017," katanya.

Tinjauan sesi latihan skuad sepak takraw negara di Bukit Jalil hari ini juga menyaksikan perejam utama, Nor Azlan Alias, masih menjalani latihan seperti biasa, secara tidak langsung menepis spekulasi bahawa dia juga akan turut mengundurkan diri.

Biarpun temasya dwitahunan itu hanya tinggal lima bulan lagi, Talib masih menaruh keyakinan tinggi dengan barisan yang ada untuk mempertahankan pingat emas biarpun tanpa kehadiran Syahir dan Zulkifli.

"Peraturan perlu dipatuhi.

"Sudah menjadi prinsip jurulatih untuk menaruh harapan kepada pemain yang ada ketika ini agar mereka dapat mempamerkan aksi terbaik dalam Sukan SEA 2019," katanya lagi.