Malaysia mungkin terpaksa menerima hakikat acara chinlone yang menghadirkan pingat emas pertama negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu akan digugurkan bersama tiga acara lain menjelang saingan di Manila 2019.

Sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Malaysia mempertandingkan sembilan emas bagi kategori lelaki dan tiga emas untuk wanita.

Namun, tuan rumah edisi 2019, Filipina, mengambil keputusan untuk mengurangkan kepada empat acara sahaja untuk lelaki dan dua acara bagi wanita dengan acara seperti chinlone, quadrant (empat sepasukan) dan berpasangan digugurkan sementara satu acara baru, gelung, akan dimasukkan.

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) juga masih mengekalkan sistem sama, dengan memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk menyertai semua acara dengan negara lain dihadkan beraksi dalam dua acara sahaja untuk lelaki dan satu untuk wanita.

"Saya telah menulis surat kepada presiden dan setiausaha agung Persatuan Sepak Takraw Indonesia, Kemboja, Laos, Singapura dan Vietnam untuk mendapatkan pendapat mereka sebelum menyatakan sokongan bagi acara yang bakal dimasukkan nanti," kata Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) masih menanti maklum balas negara serantau lain, khususnya Myanmar yang dominan dalam acara chinlone, untuk membuat rayuan.

Namun, jika permohonan itu tidak berjaya, besar kemungkinan Malaysia akan menumpukan kepada acara tradisi, iaitu regu dan regu berpasukan sahaja.

"Seperti biasa, acara prospek emas kami adalah antara regu dan acara berpasukan lelaki. Jika rayuan yang akan dikemukakan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ditolak tuan rumah, itu akan menjadi fokus kami," ujar Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz.