Bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Suhaimi Yusof, menganggap pengguguran dua tonggak utama, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abdul Razak, akan menjejaskan persiapan skuad negara dalam mempertahankan pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Sebelum ini, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggugurkan Syahir dan Zulkifli ekoran masalah disiplin.

Bagi Suhaimi, persatuan itu perlu bertanggungjawab untuk membentuk barisan pemain yang berdisiplin kerana masalah itu tidak pernah sunyi daripada kem kebangsaan.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan mengapa PSM megambil tindakan drastik pada saat-saat akhir, empat bulan sebelum Sukan SEA 2019 bermula.

"Mereka berdua adalah tonggak yang membolehkan pasukan negara dapat bersaing dengan Thailand.

"Kita faham kekalahan kepada Thailand tetapi sampai bilakah kita tidak (mempamerkan aksi) melawan.

"Walaupun skuad beregu negara memenangi emas dalam Sukan SEA 2015 dan 2017 serta Sukan Asia 2018 tetapi kalau berjumpa Thailand, pasukan negara asyik kalah 0-3, kenapa?" katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi turut menganggap Malaysia perlu berhadapan dengan Thailand dalam temasya berprestij sebagai langkah meningkatkan prestasi skuad negara.

"Sampai bilakah kita nak mengelak Thailand, sampai bila kita (hanya) nak kejar emas kerana banyak mana pun emas yang dimenangi, takraw tidak tersenarai dalam sukan teras (kalau tidak kalahkan Thailand).

"Biarpun memenangi emas, dana tidak disalurkan pihak kerajaan," katanya.