Peluang Malaysia untuk tersenarai dalam acara regu Sukan Asia Indonesia 2018 bergantung kepada mesyuarat khas Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) di Bangkok, Thailand, di mana badan induk itu sedang mendapatkan persetujuan lapan negara bertanding.

ISTAF memanggil Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Datuk Abdul Halim Kader, ke Bangkok bagi membincangkan rayuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Setakat ini, tiada negara membantah dan perubahan perlu dilakukan sebelum mesyuarat pengurus pasukan acara sepak takraw berlangsung pada 19 Ogos ini.

Situasi itu membayangkan isu undian sepak takraw boleh diselesaikan seperti dilalui bola sepak dan hoki.

"Perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik jika dibincangkan dengan teliti. Kami tidak perlu melangkauinya.

"Kami melihat perkara ini, jika tuan rumah mahu menyelesaikannya, ia harus disempurnakan sebelum 19 Ogos nanti," ujar Halim.

Sementara itu, bekas pemain negara, Rosli Abdul Rahman, meminta Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, mengadakan rundingan bersama ASTAF sebagai langkah terakhir.

"Saya berharap Datuk Ahmad dapat menghilangkan ego yang ada untuk membolehkan skuad regu Malaysia ke Sukan Asia kerana mereka berpeluang untuk meraih pingat emas.

"Dia perlu berbincang dengan ISTAF untuk cuba mencari jalan buat skuad Malaysia bertanding bagi acara pada kali ini," kata Rosli.