Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) perlu menunggu sedikit masa lagi mengenai status penyertaan mereka dalam acara regu bagi saingan Sukan Asia di Indonesia, bulan depan.

Sebelum ini, wujud kekeliruan sewaktu proses undian bagi acara sepak takraw apabila tiada penyertaan Malaysia dalam saingan regu.

Sebaliknya, mereka diletakkan dalam saingan regu berpasukan dan beregu berpasukan, sekali gus menimbulkan keresahan kerana sasaran utama disandarkan kepada saingan regu.

Bagaimanapun, ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menjelaskan terdapat dua pilihan diberi oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

Pertama, undian semula perlu diadakan membabitkan semua negara yang mengambil bahagian sementara satu lagi pilihan adalah Malaysia akan diletakkan dalam salah satu kumpulan secara rawak.

"Kami masih menunggu kata putus daripada INASGOC mengenai apa tindakan yang akan diambil tetapi kemungkinan besar selepas berhubung melalui perbualan telefon, mereka bersetuju undian semula dilakukan atau Malaysia diletakkan dalam mana-mana kumpulan," katanya.

Terdahulu, berlangsung pertemuan di antara Abdul Azim dan wakil PSM yang diketuai oleh presidennya, Datuk Ahmad Ismail, bagi membincangkan persiapan skuad lelaki negara ke Sukan Asia.

PSM menyasarkan satu pingat emas pada edisi kali ini, iaitu dalam saingan regu, tatkala kejayaan itu kali terakhir diraih pada edisi 1994 di Hiroshima.

Abdul Azim turut mengadakan pertemuan dengan wakil daripada sukan golf serta contract bridge tetapi menjelaskan masih belum ada ketetapan mengenai sasaran pingat keseluruhan buat kontinjen negara.

Sementara itu, PSM mahu mengambil seorang pakar psikologi bagi membantu meningkatkan lagi kekuatan mental pemain-pemain negara dalam Sukan Asia nanti.

Selain daripada aspek fizikal, faktor psikologi juga bakal memainkan peranan penting agar pemain negara tidak mudah terjejas dengan taktik pasukan lawan.

Menurut Ahmad, badan induk berkenaan akan menanggung sepenuhnya kos pengambilan pakar psikologi berkenaan.

Seramai 15 pemain berada dalam senarai PSM untuk membawa cabaran negara bagi saingan lelaki di Indonesia nanti.

"Seorang individu akan dilantik untuk mengendalikan aspek psikologi dalam pasukan dan PSM akan membayar dia sepenuh masa. Ketika ini, kami menggunakan tiga khidmat pemantau," ujar Ahmad.