Tidak berlaku sebarang kecuaian daripada sekretariat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkaitan soal pendaftaran acara yang disertai skuad sepak takraw negara, sebaliknya ia berpunca daripada kesilapan teknikal pihak Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).

Demikian pengesahan dibuat Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria, bagi menjelaskan bahawa pihaknya telah mendaftarkan acara regu dan regu berpasukan dalam Sukan Asia 2018, dan bukannya doubles berpasukan.

Malah, Pengarah Sukan INASGOC, Wisnu Wardhana, ada menghubungi beliau selepas insiden itu dan mengakui kesilapan tersebut adalah daripada pihak mereka.

Sehubungan itu, Norza mengesahkan bahawa INASGOC akan mengadakan majlis undian semula bagi acara sepak takraw dalam masa terdekat.

"Kami ingin memberikan peluang kepada semua pihak, termasuk INASGOC, dan persatuan sehingga ke tarikh akhir untuk laporan penuh.

"Kami tidak mahu buat (pendaftaran) atas talian, persatuan datang semula dan kami perlu mengubahnya. Kami menggunakan tarikh akhir dan hantar kepada INASGOC. Selepas itu, INASGOC perlu memasukkan butiran di atas talian di peringkat mereka.

"Apa yang berlaku, apabila mereka melihat butiran atas talian adalah acara doubles, ia adalah perkara di luar bidang kami. Seperti yang saya katakan, kami menghantar secara manual," ujarnya.

Selain itu, Norza mempertahankan pendirian MOM yang tidak menghantar wakil ke Jakarta, semalam, kerana sudah mempunyai wakil kedutaan di sana.

Walaupun konflik tercetus dalam majlis undian itu boleh dielak awal melalui kehadiran wakil MOM selaku pemerhati, Norza berasakan ia bukan satu keperluan besar.