Harapan Malaysia untuk meraih emas sepak takraw dalam Sukan Asia Indonesia bulan depan makin luntur selepas mereka bakal beraksi dalam acara yang mereka tidak melakukan sebarang persiapan, doubles berpasukan, setelah berlaku kesilapan dalam sesi undian, hari ini.

Persiapan skuad negara sejak awal tahun ini lebih tertumpu kepada acara regu dan regu berpasukan.

Namun, kesilapan ketika sesi undian Sukan Asia hari ini menyaksikan mereka kini bakal bersaing dalam acara doubles berpasukan dan ia menimbulkan kerunsingan buat barisan pemain Malaysia.

"Kalau mahu buat persediaan untuk bermain doubles berpasukan dalam tempoh 30 hari, itu tidak cukup. Kami 'serah leher'. Bagaimanapun, kami serahkan perkara ini kepada pengurusan," kata pemain negara, Mohammad Syahir Rosdi.

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah mengemukakan bantahan rasmi dan berharap agar rayuan untuk beraksi dalam acara regu dalam Sukan Asia diterima.

Tambah perit buat kem negara apabila Malaysia diundi dalam kumpulan maut bagi acara regu berpasukan kerana turut disertai juara bertahan, Thailand, dan pemenang pingat perak edisi 2014, Korea Selatan.

Malaysia perlu menang sekurang-kurangnya ke atas Korea Selatan andai berhasrat melangkah ke separuh akhir.

"Fokus kami sebelum ini adalah acara berpasukan dan regu sahaja. Doubles itu masalah sebab kami perlu bermula semula. Saya harap pihak atasan dapat menyelesaikan masalah ini di Indonesia," kata jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad.