Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC), Erick Thohir, kecewa apabila tiada seorangpun pegawai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menghadiri majlis undian temasya itu hari ini sehingga mengakibatkan skuad sepak takraw negara bertanding dalam acara yang salah.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, membantah keputusan undian acara doubles berpasukan lelaki, dengan beliau mendakwa PSM mendaftar untuk acara regu dan regu berpasukan lelaki.

Bagaimanapun, penganjur hanya menerima bantahan majlis Olimpik sesebuah negara kerana undian membabitkan Majlis Olimpik Asia, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan INASGOC.

"Memang sukar untuk mengubah hasil keputusan, apatah lagi data yang kami dapat adalah daripada Majlis Olimpik Maysia.

"Sudah tentu saya sebagai tuan rumah, saya Erick Thohir mempunyai reputasi di peringkat antarabangsa, saya pasti Indonesia profesional dan jujur," katanya.

"Kalau kita tengok dalam skrin tadi, Malaysia masuk dalam acara berpasukan doubles dan berpasukan regu," kata Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader.

Sementara itu, Ahmad berkata: "Kami belum buat persiapan acara doubles. Adakah kira-kira 30 hari yang kita ada ini cukup untuk kita menyediakan tiga regu doubles? Bukan satu tetapi tiga.

"Ini akan menimbulkan masalah tetapi saya akan akur dengan keputusan Majlis Olimpik Malaysia."

Buat masa ini, skuad sepak takraw lelaki negara akan beraksi dalam regu berpasukan dan doubles berpasukan sementara wanita pula akan mengambil bahagian dalam regu berpasukan serta quadran.

Realitinya, PSM meletak sasaran emas dalam regu lelaki.