Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, memberi bayangan isu undian semula sepak takraw dalam Sukan Asia 2018 akan berakhir dengan berita gembira buat negara.

Hanya 21 hari sebelum bermulanya temasya sukan kedua terbesar di dunia itu, masalah undian semula membabitkan sukan sepak takraw masih lagi tergantung tanpa jawapan.

Bagaimanapun, perkembangan terkini melibatkan sukan itu akan diketahui selewat-lewatnya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, telah berlepas ke Jakarta semalam bagi memperincikan situasi terkini menerusi pertemuan dengan Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA).

"Semalam, Datuk Nazifuddin telah ke Jakarta untuk berjumpa dengan wakil OCA, bersama-sama dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

"Pada pagi ini, presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, telah memberitahu bahawa keputusan dijangka akan diterima dalam masa satu atau dua hari lagi. Bagaimanapun, pihak MOM akan menunggu surat rasmi daripada OCA," kata Norza.

Dalam masa sama, Ahmad turut memberi bayangan positif yang mampu memihak kepada Malaysia dalam waktu terdekat.

"Segalanya terpulang, selagi ia berbalik kepada cadangan asal bahawa penglibatan Malaysia hanya dalam pasukan regu dan antara regu," tambahnya.

Sementara itu, jumlah keseluruhan atlet yang membarisi kontinjen Malaysia dalam Sukan Asia, melewati perubahan apabila tiga atlet melibatkan sukan mendaki dan ekuestrian menarik diri.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Norza selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MOM, hari ini.

Atlet yang terlibat adalah N. Shoorendran daripada sukan ekuestrian ekoran masalah kuda dan dua lagi melibatkan sukan mendaki, iaitu Mohd Redha Rozlan dan Ng Jia Shen, disebabkan kekangan kerja.

"Ada sedikit perubahan daripada segi atlet, iaitu jumlah berubah daripada 426 kepada 423 orang. Ia melibatkan dua persatuan, iaitu mendaki dan ekuestrian."