STL: Warriors tidak mahu terperangkap dengan kebangkitan Guardians

Oleh Farizal Yusoff 12 Oktober 2019
STL: Warriors tidak mahu terperangkap dengan kebangkitan Guardians
Menyaksikan kemenangan mudah ATM Guardians ke atas pasukan pilihan, Johor Tigris, 2-0 malam tadi menyebabkan kem kejurulatihan Kelantan Warriors memikirkan strategi terbaik untuk memerangkap lawannya dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), malam ini.

Guardians, yang dibimbing Aswadi Abdullah, seakan-akan sudah kembali kepada prestasi terbaik apabila mudah mengatasi Tigris dengan kombinasi serangan yang cukup baik.

Warriors pula tidak beraksi semalam tetapi melaungkan keyakinan bagi melebarkan rekod bersih kepada empat perlawanan berturut-turut.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan  Muhammad Hassan, mengakui kebangkitan skuad Guardians dan berharap pemainnya terus memberikan aksi terbaik bagi merekodkan kemenangan berganda ke atas lawan itu.

"Kami perlu berhati-hati dengan kebangkitan Guardians dan tidak mudah terperangkap dengan strategi yang bakal mereka gunakan.

"Kami kena cepat sesuaikan rentak permainan dengan tingkatkan komunikasi antara pemain sambil kukuhkan pertahanan bagi menghalang serangan lawan yang makin berbisa," ujarnya.

Syazwan mengesahkan Warriors bakal menurunkan pemain yang sama ketika mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut di Spice Arena, Pulau Pinang baru-baru ini.

"Semua berjalan lancar dan pemain bebas daripada sebarang kecederaan. Motivasi semakin tinggi selepas balik dari Spice Arena.

"Insya-Allah, pemain sedar hakikat saingan dalam pusingan kedua semakin mencabar dan terus gigih memburu kemenangan," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen