Selepas tumpas 1-2 kepada Negeri Sembilan Antlers semalam, Kelantan Warriors mahu menjadikan Terengganu Turtles sebagai mangsa bagi mengutip mata pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Warriors, yang menurunkan bekas tekong Johor Tigris, Hairee Haidzir, sebelum memasukkan Apirak Promanee untuk bergandingan dengan Yuslie Jusoh dan Aidil Aiman Azwawi, bagaimanapun, tenggelam dalam set pertama sebelum bangkit bergaya memenangi set kedua 21-10.

Dalam set penentuan, sedikit kesilapan pada penghujung perlawanan membuatkan Warriors berputih mata apabila tumbang 17-21, sekali gus merekodkan kekalahan kedua berturut-turut.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, akur dengan kekalahan kedua berturut-turut itu sambil membayangkan akan membuat sedikit rombakan pemain apabila turun menentang skuad kendalian bekas pelibas kebangsaan, Futra Abdul Ghani, itu.

"Kecewa dengan kekalahan kedua (kepada Antlers), namun perjuangan mesti diteruskan untuk memburu kemenangan pertama dalam saingan liga.

"Bertemu dengan pemain muda Turtles, kami perlu berhati-hati jika tidak mahu terperangkap lagi. Mereka sudah mengecapi kejayaan pertama apabila menang ke atas Sabah Mountaineers 2-1.

"Mungkin kami akan turunkan pemain yang belum pernah beraksi bagi memberi mereka peluang menikmati kehangatan STL selain percaturan strategi," katanya.

Ahmad Shazwan juga gembira dengan peningkatan prestasi tekong Siam, Apirak Promanee, berbanding aksi pertama menentang Johor Tigris.

"Promanee sudah mula menunjukkan kehebatannya melalui servis kencang yang memberikan mata mudah.

"Kami perlu mencari kemenangan pertama dalam aksi ketiga ini jika tidak mahu jauh ketinggalan dalam carta liga," ujarnya.

Untuk rekod, Warriors berada di tangga kesembilan tanpa sebarang mata manakala Terengganu Turtles di tangga kelapan dengan dua mata hasil satu kemenangan.