Halangan sengit PDRM Defenders berjaya diatasi dan kini tumpuan Kelantan Warriors ialah kepada pertarungan menentang Perak Bison dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Kelantan Warriors yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas juara bertahan, Penang Black Panthers, minggu lalu terpaksa berhempas-pulas sehingga set penentuan untuk menang ke atas Defenders 17-21, 21-17, 21-17.

Perak Bison yang masih dihantui prestasi tidak konsisten tumpas kepada Kuala Lumpur Thunder 2-1 malam tadi membuatkan ketua jurulatih, Ismi Hissan Ismail, memikirkan strategi terbaik untuk memerangkap Warriors.

Pengurus Kelantan Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, gembira dengan prestasi pemainnya biarpun terpaksa mengharungi set penentuan yang mendebarkan.

"Alhamdulillah, mata penuh berjaya dicapai dalam aksi sukar.

"Gembira apabila pemain mampu menyerap tekanan dan fokus sehingga mata penamat biarpun diserang hebat melalui servis kencang tekong Defenders," ujarnya.

Shazwan juga membayangkan untuk merehatkan tekong import, Apirak Promanee, sambil menyenaraikan bekas tekong Johor Tigris, Hairee Haidzir, untuk bergandingan dengan Naim Izani Wan Noor dan Aidil Aiman Azwawi.

"Harap Hairee mampu memberikan aksi terbaik sambil membentuk pertahanan mantap kerana serangan Bison cukup berbahaya.

"Ambil kesempatan atas kekalahan mereka malam tadi untuk menutup minggu ketiga ini dengan kemenangan," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors berada di tangga keenam dengan enam mata hasil tiga kemenangan manakala Bison, juga enam mata, di tangga ketujuh carta STL.

Kredit Foto: STL